Social Icons

twitterfacebook

Monday, February 5, 2018

Meneruskan Momentum : Ucapan Pertama Presiden NGO Alumni KMPk sesi 2018/2020







Alhamdulillah. SPKG yang ke-9 baru-baru ini mempersembahkan perubahan lebih daripada separuh individu di dalam Majlis Tertinggi Persatuan Alumni Kolej Matrikulasi Perak. Ini menunjukkan persatuan ini bercita-cita untuk terus mara langkah demi langkah sambil memberi peluang kepada mereka yang masih muda.

Pemilihan saya sebagai Presiden persatuan ini bukanlah bermakna tiada yang lebih baik daripada saya. Kejayaan sesi 2016/2018 yang lalu adalah hasil sinergi di antara MT dan ahli-ahli. Maka kerjasama dan sokongan yang padu seperti ini wajib dikekalkan dan ditambah baik demi menjamin momentum persatuan terus bergerak laju kehadapan.

Tahun ke-9 saya bersama NGO Alumni KMPk. Melihat kegigihan para 'senior' menghidupkan persatuan ini pada tahun 2009 membuatkan saya terus jatuh cinta untuk menabur bakti di sini. Jasa mereka sentiasa kami kenang dan jadikan motivasi buat kami untuk memacu persatuan ini.

Persatuan ini memberi saya peluang untuk terus belajar. Daripada belajar dengan mengikuti mereka yang lebih berpengalaman kepada belajar dengan mereka yang lebih muda. Di dalam persatuan ini juga saya diberi peluang untuk menambah saham-saham kecil di akhirat.

Saya ingin mengambil peluang ini untuk berterima kasih kepada semua individu dan pihak yang tidak lelah memberikan bantuan kepada persatuan ini pada sesi 2016/18 yang lalu. Semoga Allah membalas segala jasa kalian.

Harapan saya agar semua pihak terutama para alumni, pihak pengurusan dan pelajar semasa terus dapat bekerjasama dengan baik demi kesejahteraan kolej dan persatuan alumni. Walaupun adakalanya wujud anasir-anasir luar yang cuba menganggu ketenteraman kolej dan alumni.

Jika ada malam dan siang,
Pasti ada duduk dan berdiri,
Jika ada badai yang datang,
Sama-sama kita pertahan diri.

Semoga persatuan ini terus maju dan mengekalkan momentum yang positif.

"Bersama Menabur Bakti"

Muhammad Hilmi Bin Ismail 
Presiden 
NGO Alumni KMPk

#alumnikmpk



No comments: