Social Icons

twitterfacebook

Wednesday, February 15, 2012

Rentetan Peristiwa SIREH Pulang Ke Gagang VI (SPKG VI)


Salam Sayang. Masih lagi dalam mood SPKG nampaknya. Impaknya terkesan sehingga ke hari ini walau sudah beberapa hari meninggalkan bumi KMPk. Namun, mungkin ramai di luar sana yang masih tidak tahu berkenaan dengan program SPKG atau nama penuhnya SIREH Pulang Ke Gagang yang hanya diadakan 2 tahun sekali dan pada tahun yang bertuah ini, SPKG yang ke 6 telah selamat dijayakan. Alhamdulillah.

Tarikh 10, 11 dan 12 FEB 2012 telah dipilih sebagai tarikh bertuah bagi melaksanakan SPKG VI. Tempat? Sudah pastilah lokasinya hanya di Kolej Matrikulasi Perak yang tercinta. Dah nama pun reunion kan, wajiblah dilakukan di tempat yang menyimpan seribu kenangan kita bersama.
Berbekalkan semangat jua kasih yang tidak berbelah bahagi, para AJK pelaksana GIGIH bermastautin selama seminggu lebih awal dalam merencana serta memastikan SPKG VI kali ini berjalan dengan lancar. Berikut merupakan rentetan aktiviti yang berlaku sepanjang berjalannya program SPKG VI pada tahun 2012 ini.

Jumaat ( 10 FEB 2012, Pagi hingga Petang )

Pendaftaran penginapan & Program ‘GET TO KNOW’

Lumrah sesuatu program, kekok rasanya jika tidak ada pendaftaran. Menjelang hari Jumaat, pendaftaran peserta telah dilaksanakan bertempat di Dewan Sri Kinta (DSK) sepanjang hari. Serentak dengan pendaftaran penginapan, satu program GET TO KNOW sedang dijayakan di DSK.

GET TO KNOW adalah sebuah program yang dianjurkan oleh Alumni KMPk bermatlamat untuk membantu pelajar semasa sesi 2011/2012 yang sedang dalam dilema dalam memilih jurusan dan universiti yang sesuai selaras dengan minat mereka. Dalam erti kata lain, program GET TO KNOW berhasrat untuk membuka minda adik-adik agar tidak mengecilkan skop dalam memilih jurusan bagi melangkah ke alam menara gading.

Setiap wakil Alumni dari seluruh universiti yang ada di Malaysia hadir dan membuka kaunter pertanyaan. Terharu rasanya melihat para Alumni GIGIH dan tidak jemu melayan 1001 persoalan dari adik-adik. Begitu juga dengan peserta SPKG yang hadir, mereka diminta untuk berada di kaunter universiti masing-masing untuk turut berkongsi pengalaman dan menjawab segala persoalan.

Alhamdulillah, nampaknya program GET TO KNOW mendapat sambutan yang hangat daripada pelajar. DSK tidak pernah lengang sehingga menjelangnya waktu petang menandakan tamatlah sudah program ini. Jangan risau adik-adik! C U D IPT!


Malam

Ice Breaking

Tak kenal, maka tak cinta. Justeru, bagi membina ikatan kekeluargaan sesama peserta yang berlainan batch, sesi ICE BREAKING dilaksanakan pada malam hari yang dikendalikan oleh senior otai kita yang mesra dipanggil Abang Pian. Riuh rendah serta gamat dibuatnya dengan gelak tawa dan gurauan menceriakan suasana. Tidak lupa juga, peserta dibahagikan kepada kumpulan kecil bagi menyempurnakan aktiviti pada esok harinya.

Sabtu (11 FEB 2012, Pagi)

Fun & Tricks

Menyingkap tirai pagi, bermulalah aktiviti SPKG VI secara rasmi. Setelah sesi memanaskan badan diadakan, setiap kumpulan bertebaran di bumi KMPk bagi menyempurnakan tugasan. Almaklumlah, lumrah program explorace kan. Kalau tak berpeluh, bukan explorace namanya.

Setiap checkpoint mempunyai tugasan yang unik. Yang pastinya, kesemua checkpoint berjaya memberikan cabaran dalam menyiapkannya dalam masa yang ditetapkan.

Uniknya, tips untuk bergerak ke checkpoint seterusnya diberikan dalam bentuk pantun. Pantun bukan sebarang pantun, pantun ini pantun yang terkandung teka teki yang agak sukar namun tidak mustahil untuk diselesaikan.
Nampaknya peserta berpuas hati dengan muqaddimah aktiviti di pagi hari ini yang berjaya merapatkan hubungan sesama  Alumni yang hadir.


Petang

Mesyuarat Agung Tahunan sesi 2012/2014

Tak lengkap rasanya penubuhan sesuatu NGO jika tidak ada Mesyuarat Agung Tahunan bagi memilih barisan pimpinan yang bertanggungjawab untuk menerajui tonggak persatuan pada masa depan. 

Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-2 ini telah disempurnakan di Dewan Kuliah 5.

Hasil kata muafakat dalam memilih calon pemimpin yang layak, berikut merupakan barisan Majlis Tertinggi yang telah dilantik berdasarkan undi majoriti.

Presiden : Mohammad Faiz Kamarudin (batch 06/07)

Timb Pres : Nur Mastura Mansor (batch 04/05)

Naib Pres 1 : Ahmad Zulkamal Az-Ziyad (batch 07/08)

Naib Pres 2 : Amira bt Mohd. Nasib (batch 06/07)

SU Agung : Nurul Illianida bt Roslan (batch 09/10)

Timb SU : Mohd Lutffi bin Abd Latif (batch 06/07)

Bend : Nur Shahidah Roselan (batch 06/07)

Timb Bend : Muhammad Hilmi bin Ismail (batch 08/09)

Sekalung tahniah diucapkan kepada MT baru sesi 2012/2014 kerana telah diamanahkan untuk menerajui pimpinan Alumni KMPk. Semoga pembaharuan dan pelbagai program dapat dilaksanakan ke arah menjenamakan semula Alumni KMPk agar tak lenyap ditelan arus zaman.


Malam

Makan Malam Berprestij

Tatkala malam melabuhkan tirai, dendangan perut mula berbunyi meronta-ronta minta diisi. Apa tunggu lagi! Inilah aktiviti kemuncak bagi program SPKG, juga acara penutup. Makan Malam Berprestij ini diadakan di DSK, bertemakan korporat yang juga turut disertai oleh 50 orang pelajar semasa sesi 2011/2012. 


Indah dewan tersergam megah. Itulah perasaan yang dapat digambarkan tatkala melangkahkan kaki ke dalam DSK. Unik, ramai yang terpegun dengan dekorasi pentas juga meja makan seakan berada di sebuah majlis perkahwinan.

Tidak lengkap sesuatu makan malam berprestij jika tidak diserikan dengan persembahan. Variasi persembahan telah disajikan kepada penonton sambil melayan selera. Dimeriahkan pula dengan kehadiran dua orang pengacara majlis yang petah berbicara membuatkan majlis tidak pernah sunyi.
Tidak menghampakan aneka juadah pelengkap selera berjaya menjadikan Makan Malam Berprestij ini sebagai satu kenangan sepanjang menyertai SPKG.


Ahad (12 FEB 2012, Pagi )

Check out!

Berat rasa hati untuk meninggalkan bumi KMPk yang menyimpan sejuta memori. Antara alam sekolah dan alam universiti, alam matrikulasi sebagai perantara. Mana mungkin segala memori tercipta bisa dilupakan sebegitu sahaja.

Akhir bicara, tahniah diucapkan kepada semua AJK serta pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menyempurnakan lagi program SPKG pada kali ini. Jutaan terima kasih tidak terhingga khas buat para Alumni yang sudi meluangkan masa dalam rutin harian yang penuh dengan kesibukan bagi sama-sama menyertai SPKG kali ini. Adat pertemuan, pasti ada perpisahan. Jangan berduka, ada masa, bersua jua!

Sekian, salam sayang. =)

p/s : Gambar terlalu banyak untuk diletakkan di blog. Nak tengok lebih2? Sila klik ----> ALBUM GAMBAR SPKG VI

Sunday, February 5, 2012

Pendaftaran SPKG dilanjutkan hingga 8 Feb!!


Salam Sayang. PENGUMUMAN TERBARU!!!!

Pendaftaran SIREH Pulang Ke Gagang (SPKG) masih lagi dibuka. Sukacitanya, pendaftaran SPKG dilanjutkan sehingga 8 FEB 2012 (Rabu) ini. Kepada yang masih berminat untuk sertai kami, ayuh daftar beramai-ramai! (^_^)

Nak daftar? Klik, KE BORANG PENDAFTARAN SPKG

Sebarang masalah, boleh terus hubungi Nur Shahidah Roselan di talian 013-7029158.

Selamat Mendaftar. =)