Social Icons

twitterfacebook

Sunday, February 17, 2019

Sumbangan untuk Kebajikan dan Aktiviti Pelajar di Malam Konsert Inteam



Persatuan Alumni KMPk telah menyampaikan Sumbangan Untuk Kebajikan dan Aktiviti Pelajar semasa Malam Konsert Inteam, Karnival Kesenian Islam anjuran Jawatankuasa Masjid Al-Maghfirah Sabtu lalu.

Duit sumbangan adalah daripada tabung kutipan yang dilancarkan semasa Majlis Minum Petang Sambutan 10 Tahun Alumni bulan lalu dan juga daripada persatuan sendiri.

Tabung yang dilancarkan ini adalah salah satu daripada usaha persatuan untuk membantu para pelajar kolej yang memerlukan. Kita berharap agar sumbangan seperti ini yang akan dilakukan lagi di masa akan mendapat kerjasama dan sumbangan daripada para alumni kita diluar sana.



Sumbangan telah diserahkan oleh Encik Hasnul Hisham Bin Hasamuddin, Naib Presiden 1 Persatuan Alumni Kolej Matrikulasi Perak kepada Encik Azman Bin Mokhtar, Timbalan Pengarah Kolej Matrikulasi Perak.

#10tahunalumni
#kmpkdihatiku
#teamrindukmpk

Friday, February 1, 2019

10 Tahun Alumni KMPk & Tabung Kebajikan





Assalamualaikum wbt dan selamat sejahtera. 


Pertama sekali saya ingin mengucapkan syukur alhamdulillah kerana NGO Alumni KMPk ini telah sampai tahun yang ke-10 penubuhannya secara rasmi berdaftar dengan ROS. Berdaftar sejak 2009 oleh geng Encik PianMastura MansorSabun Debu Suhaimi Salleh dan ramai lagi alumni-alumni yang memulakan perjuangan persatuan ini. 




Keduanya saya ingin berterima kasih kepada semua alumni terutama barisan Majlis Tertinggi, AJK Sambutan 10 Tahun Alumni KMPk dan juga pihak pengurusan KMPk terutamanya pihak HEP Sufian Sauri dan Aris Hanafi yang telah bertungkus-lumus menjalankan program sambutan ulang tahun kita yang ke-10 baru-baru ini.





Ini merupakan satu tapak yang kukuh untuk kita bersama-sama merencana agenda persatuan untuk pergi lebih jauh dan membuka ruang dan peluang yang baru untuk menabur bakti.


Antara agenda NGO Alumni KMPk juga termasuklah untuk membantu pelajar semasa dan alumni terus maju dalam akademik dan kerjaya. Selain daripada aktiviti motivasi, perkongsian pengalaman dan memberi panduan hala tuju masa depan, salah satu cara untuk membantu adalah dengan menjaga sedikit kebajikan mereka terutama bagi yang amat memerlukan.




Maka, kami mengambil langkah pertama dengan melancarkan 'Tabung Kebajikan Pelajar & Alumni' serta mengadakan kutipan pertama semasa program hi-tea sempena sambutan 10 tahun yang baru berlalu.


Alhamdulillah, sebanyak RM219.60 berjaya dikumpulkan pada hari tersebut. Tabung ini bertujuan untuk membantu pelajar dan alumni yang memerlukan disamping sebagai dana tambahan untuk penganjuran aktiviti-aktiviti alumni yang berkaitan.


InsyaAllah, dalam masa terdekat kami akan mewujudkan akaun khas untuk semua alumni yang ingin terus menyumbang.


Saya mengharapkan kerjasama oleh semua bekas pelajar KMPk untuk menjayakan agenda kebajikan ini. Semoga usaha ini menjadi salah satu langkah penting dalam membawa persatuan ini ke tahap yang lebih tinggi.


"Bersama Menabur Bakti"


Muhammad Hilmi Bin Ismail
Presiden NGO Alumni KMPk



Monday, January 28, 2019

Sambutan 10 Tahun Persatuan Alumni Kolej Matrikulasi Perak (KMPk) Meriah


GOPENG, 26 JAN – Persatuan Alumni Kolej Matrikulasi Perak telah mengadakan sebuah program Sambutan 10 Tahun Alumni bagi meraikan ulang tahun ke-10 penubuhan Persatuan Alumni Kolej Matrikulasi Perak. Dalam program yang diadakan pada hari Jumaat dan Sabtu itu, beberapa aktiviti telah disusun seperti Get to Know, Hi-Tea dan juga forum bersama ikon-ikon persatuan ini.


Majlis minum petang (Hi-Tea) yang diadakan pada Sabtu petang telah dirasmikan oleh Dr. Shah Jahan Bin Assanakurtty, Ketua Penolong Pengarah Kanan Sektor Akademik Bahagian Matrikulasi Kementerian Pendidikan Malaysia (BMKPM). Seramai 200 orang alumni telah pun hadir dalam majlis kali ini disamping 15 orang tetamu kehormat termasuklah mantan – mantan pengarah Kolej Matrikulasi Perak.




Dalam majlis ini, empat orang alumni telah dinobatkan sebagai ikon bagi persatuan ini iaitu Dr. Muhd Al-Aarifin Bin Ismail, Pensyarah Perubatan Universiti Sains Malaysia (USM) sebagai Ikon Akademik. Puan Nur Mastura Binti Mansor, Ketu Divisyen Career Cube sebagai Ikon Kerjaya. Encik Ahmad Izzhar Bin Ahmad Nazri, Personaliti Televisyen sebagai Ikon Sosial. Seterusnya, Encik Muhammad Hilmi Bin Ismail, Pengurus Brainy Bones Studio, dan juga Presiden NGO Alumni KMPk sebagai Ikon Kepimpinan.


Dr. Shah Jahan dalam ucapannya berharap agar lebih ramai lagi ikon yang dapat dilahirkan pada masa hadapan dan menyeru para ikon agar dapat meluangkan masa untuk turun memenuhi jemputan di kolej ini bagi memberi semangat dan motivasi yang berterusan kepada para pelajar.




Pengarah kolej, Encik Shashim Shah Bin Harun yang menyokong penuh penglibatan alumni dalam aktiviti aktiviti kolej berkata beliau akan sedaya-upaya membantu persatuan ini dalam memastikan pelajar kolej mendaftar sebagai ahli persatuan. Beliau sangat berharap agar persatuan ini dapat meluaskan lagi jaringan sosial bagi membolehkan lebih ramai alumni daripada pelbagai bidang dan cabang kerjaya dapat diketengahkan.




Sambutan 10 Tahun Alumni ini telah berlansung dengan meriah dan jayanya dengan bantuan 80 orang ahli jawatankuasa program. Mereka telah berkampung di kolej sejak hari Selasa pada minggu tersebut. Persatuan Alumni Kolej Matrikulasi Perak mengucapkan jutaan terima kasih pada semua ahli jawatankuasa atas kegigihan dan sumbangan sepanjang program berjalan.