Kami Sayang K.M.P.K!

Welcome

Wednesday, February 15, 2012

Rentetan Peristiwa SIREH Pulang Ke Gagang VI (SPKG VI)


Salam Sayang. Masih lagi dalam mood SPKG nampaknya. Impaknya terkesan sehingga ke hari ini walau sudah beberapa hari meninggalkan bumi KMPk. Namun, mungkin ramai di luar sana yang masih tidak tahu berkenaan dengan program SPKG atau nama penuhnya SIREH Pulang Ke Gagang yang hanya diadakan 2 tahun sekali dan pada tahun yang bertuah ini, SPKG yang ke 6 telah selamat dijayakan. Alhamdulillah.

Tarikh 10, 11 dan 12 FEB 2012 telah dipilih sebagai tarikh bertuah bagi melaksanakan SPKG VI. Tempat? Sudah pastilah lokasinya hanya di Kolej Matrikulasi Perak yang tercinta. Dah nama pun reunion kan, wajiblah dilakukan di tempat yang menyimpan seribu kenangan kita bersama.
Berbekalkan semangat jua kasih yang tidak berbelah bahagi, para AJK pelaksana GIGIH bermastautin selama seminggu lebih awal dalam merencana serta memastikan SPKG VI kali ini berjalan dengan lancar. Berikut merupakan rentetan aktiviti yang berlaku sepanjang berjalannya program SPKG VI pada tahun 2012 ini.

Jumaat ( 10 FEB 2012, Pagi hingga Petang )

Pendaftaran penginapan & Program ‘GET TO KNOW’

Lumrah sesuatu program, kekok rasanya jika tidak ada pendaftaran. Menjelang hari Jumaat, pendaftaran peserta telah dilaksanakan bertempat di Dewan Sri Kinta (DSK) sepanjang hari. Serentak dengan pendaftaran penginapan, satu program GET TO KNOW sedang dijayakan di DSK.

GET TO KNOW adalah sebuah program yang dianjurkan oleh Alumni KMPk bermatlamat untuk membantu pelajar semasa sesi 2011/2012 yang sedang dalam dilema dalam memilih jurusan dan universiti yang sesuai selaras dengan minat mereka. Dalam erti kata lain, program GET TO KNOW berhasrat untuk membuka minda adik-adik agar tidak mengecilkan skop dalam memilih jurusan bagi melangkah ke alam menara gading.

Setiap wakil Alumni dari seluruh universiti yang ada di Malaysia hadir dan membuka kaunter pertanyaan. Terharu rasanya melihat para Alumni GIGIH dan tidak jemu melayan 1001 persoalan dari adik-adik. Begitu juga dengan peserta SPKG yang hadir, mereka diminta untuk berada di kaunter universiti masing-masing untuk turut berkongsi pengalaman dan menjawab segala persoalan.

Alhamdulillah, nampaknya program GET TO KNOW mendapat sambutan yang hangat daripada pelajar. DSK tidak pernah lengang sehingga menjelangnya waktu petang menandakan tamatlah sudah program ini. Jangan risau adik-adik! C U D IPT!


Malam

Ice Breaking

Tak kenal, maka tak cinta. Justeru, bagi membina ikatan kekeluargaan sesama peserta yang berlainan batch, sesi ICE BREAKING dilaksanakan pada malam hari yang dikendalikan oleh senior otai kita yang mesra dipanggil Abang Pian. Riuh rendah serta gamat dibuatnya dengan gelak tawa dan gurauan menceriakan suasana. Tidak lupa juga, peserta dibahagikan kepada kumpulan kecil bagi menyempurnakan aktiviti pada esok harinya.

Sabtu (11 FEB 2012, Pagi)

Fun & Tricks

Menyingkap tirai pagi, bermulalah aktiviti SPKG VI secara rasmi. Setelah sesi memanaskan badan diadakan, setiap kumpulan bertebaran di bumi KMPk bagi menyempurnakan tugasan. Almaklumlah, lumrah program explorace kan. Kalau tak berpeluh, bukan explorace namanya.

Setiap checkpoint mempunyai tugasan yang unik. Yang pastinya, kesemua checkpoint berjaya memberikan cabaran dalam menyiapkannya dalam masa yang ditetapkan.

Uniknya, tips untuk bergerak ke checkpoint seterusnya diberikan dalam bentuk pantun. Pantun bukan sebarang pantun, pantun ini pantun yang terkandung teka teki yang agak sukar namun tidak mustahil untuk diselesaikan.
Nampaknya peserta berpuas hati dengan muqaddimah aktiviti di pagi hari ini yang berjaya merapatkan hubungan sesama  Alumni yang hadir.



Petang

Mesyuarat Agung Tahunan sesi 2012/2014

Tak lengkap rasanya penubuhan sesuatu NGO jika tidak ada Mesyuarat Agung Tahunan bagi memilih barisan pimpinan yang bertanggungjawab untuk menerajui tonggak persatuan pada masa depan. 

Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-2 ini telah disempurnakan di Dewan Kuliah 5.

Hasil kata muafakat dalam memilih calon pemimpin yang layak, berikut merupakan barisan Majlis Tertinggi yang telah dilantik berdasarkan undi majoriti.

Presiden : Mohammad Faiz Kamarudin (batch 06/07)

Timb Pres : Nur Mastura Mansor (batch 04/05)

Naib Pres 1 : Ahmad Zulkamal Az-Ziyad (batch 07/08)

Naib Pres 2 : Amira bt Mohd. Nasib (batch 06/07)

SU Agung : Nurul Illianida bt Roslan (batch 09/10)

Timb SU : Mohd Lutffi bin Abd Latif (batch 06/07)

Bend : Nur Shahidah Roselan (batch 06/07)

Timb Bend : Muhammad Hilmi bin Ismail (batch 08/09)

Sekalung tahniah diucapkan kepada MT baru sesi 2012/2014 kerana telah diamanahkan untuk menerajui pimpinan Alumni KMPk. Semoga pembaharuan dan pelbagai program dapat dilaksanakan ke arah menjenamakan semula Alumni KMPk agar tak lenyap ditelan arus zaman.


Malam

Makan Malam Berprestij

Tatkala malam melabuhkan tirai, dendangan perut mula berbunyi meronta-ronta minta diisi. Apa tunggu lagi! Inilah aktiviti kemuncak bagi program SPKG, juga acara penutup. Makan Malam Berprestij ini diadakan di DSK, bertemakan korporat yang juga turut disertai oleh 50 orang pelajar semasa sesi 2011/2012. 


Indah dewan tersergam megah. Itulah perasaan yang dapat digambarkan tatkala melangkahkan kaki ke dalam DSK. Unik, ramai yang terpegun dengan dekorasi pentas juga meja makan seakan berada di sebuah majlis perkahwinan.

Tidak lengkap sesuatu makan malam berprestij jika tidak diserikan dengan persembahan. Variasi persembahan telah disajikan kepada penonton sambil melayan selera. Dimeriahkan pula dengan kehadiran dua orang pengacara majlis yang petah berbicara membuatkan majlis tidak pernah sunyi.
Tidak menghampakan aneka juadah pelengkap selera berjaya menjadikan Makan Malam Berprestij ini sebagai satu kenangan sepanjang menyertai SPKG.


Ahad (12 FEB 2012, Pagi )

Check out!

Berat rasa hati untuk meninggalkan bumi KMPk yang menyimpan sejuta memori. Antara alam sekolah dan alam universiti, alam matrikulasi sebagai perantara. Mana mungkin segala memori tercipta bisa dilupakan sebegitu sahaja.

Akhir bicara, tahniah diucapkan kepada semua AJK serta pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menyempurnakan lagi program SPKG pada kali ini. Jutaan terima kasih tidak terhingga khas buat para Alumni yang sudi meluangkan masa dalam rutin harian yang penuh dengan kesibukan bagi sama-sama menyertai SPKG kali ini. Adat pertemuan, pasti ada perpisahan. Jangan berduka, ada masa, bersua jua!

Sekian, salam sayang. =)

p/s : Gambar terlalu banyak untuk diletakkan di blog. Nak tengok lebih2? Sila klik ----> ALBUM GAMBAR SPKG VI

Sunday, February 5, 2012

Pendaftaran SPKG dilanjutkan hingga 8 Feb!!


Salam Sayang. PENGUMUMAN TERBARU!!!!

Pendaftaran SIREH Pulang Ke Gagang (SPKG) masih lagi dibuka. Sukacitanya, pendaftaran SPKG dilanjutkan sehingga 8 FEB 2012 (Rabu) ini. Kepada yang masih berminat untuk sertai kami, ayuh daftar beramai-ramai! (^_^)

Nak daftar? Klik, KE BORANG PENDAFTARAN SPKG

Sebarang masalah, boleh terus hubungi Nur Shahidah Roselan di talian 013-7029158.

Selamat Mendaftar. =)

Thursday, January 19, 2012

Ayuh! Daftarlah Sebagai Peserta SPKG 2012..


K.M.P.k tetap di hati..

Salam Sayang. Masih ada yang bertanya, bagaimana cara untuk mendaftar sebagai peserta SPKG kali ini (^_^). Tidak perlu risau dan bimbang..Caranya mudah, ikut langkah-langkah di bawah:

1) Kosongkan tarikh 10,11 dan 12 FEB. 

2) Sebelum mengisi borang online, bank in duit sebanyak RM 45 ke akaun CIMB Bank 
< 08160082733526 > NUR SHAHIDAH BINTI ROSELAN. Bukti pembayaran atau ref. no boleh di emailkan ke shieda_1405@yahoo.com atau SMS ke no. 0137029158.

3) Selepas itu, anda bolehlah mengisi borang pendaftaran online, dengan KLIK KE BORANG PENDAFTARAN SPKG 2012

4) Mudah, cepat dan pantas! Selamat Mendaftar =)

Sebarang masalah, boleh berhubung terus dengan admin di Facebook atau layangkan komen anda di bawah ini. (^_^)


Tuesday, January 17, 2012

Daftar Oh Daftar! SPKG 2012 menanti anda!



Melati kuntum tumbuh melata, 
Sayang merbah di pohon cemara; 
Salam diberi pemula kata, 
Sebagai tanda pembuka bicara. 



Ingin rasa memakan kari, 
Kari cendawan batang keladi; 
Girang rasa tidak terperi, 
Nak ke KMPk 10 FEB ini.


Garam ada kicap pun ada,

Sayang lada terlupa bagi; 

Masa ada duit pun ada,

Sayang kalau tak sertai kami!


Kalau tuan pikat kenari,

Jangan patahkan batang jerami; 

Wahai Alumni yang tak daftar lagi,

Jom daftar sebagai peserta SPKG =)



Klik ----->



Tuesday, January 3, 2012

Pendaftaran ONLINE SPKG dibuka!! Jom Klik!


   Salam Sayang. Apa khabar semua Alumni KMPk? Diharapkan anda semua sihat sentiasa. Seperti yang anda sedia maklum, kali ini Alumni KMPk tampil menghantui hidup anda lagi dengan menganjurkan program yang sudah tidak asing pada Alumni KMPk yang sudah bergelar 'otai'. Apalagi kalau bukan program 'SIREH Pulang ke Gagang' atau nama singkatannya SPKG. 

   Pada sesi kali ini, SPKG 2012 akan dilaksanakan pada tarikh keramat iaitu 10 Feb, 11 Feb & 12 Feb 2012 bertempat di kolej matrikulasi kita yang tercinta iaitu Kolej Matrikulasi Perak (KMPk). Bagi yang tidak pernah menghadiri program SPKG, pasti tertanya-tanya apakah pengisian atau objektif utama program ini. Ye la kan, nama programnya sahaja sudah begitu simbolik. 

   Baiklah, SIREH Pulang Ke Gagang (SPKG) boleh juga dibahasakan dengan nama manja lain iaitu 'Reunion'. Dengan erti kata lain, SPKG diadakan bertujuan untuk mengumpulkan kembali para Alumni KMPk dari batch pertama hinggalah batch lepas dalam pelbagai aktiviti yang telah direncanakan oleh Majlis Tertinggi Alumni KMPk beserta dengan kerjasama dari Biro-Bironya yang bersemangat waja. Suka admin tekankan di sini, SPKG merupakan program untuk semua BATCH Alumni KMPk yang PERNAH sama-sama berkongsi kisah kehidupan sebagai seorang pelajar KMPk. 


Ringkasan program SPKG:


TARIKH : 11 - 12 FEB 2012, Sabtu & Ahad ( Namun, pendaftaran penginapan pada 10 FEB 2012, Jumaat)


LOKASI : Semestinya di Kolej Matrikulasi Perak (KMPk)


BAYARAN : RM 45 ( Lengkap dengan makanan, penginapan & pelbagai aktiviti menarik, yang teristimewa ada Majlis Makan Malam a.k.a Dinner)

   Juga, suka admin kongsikan antara aktiviti yang akan menghiasi hari anda sepanjang 2 hari berada di KMPk untuk program SPKG ini.


10 Februari 2012


-Pendaftaran kehadiran & penginapan di KMPk
(Sepanjang hari dari 7 pagi hingga malam)

11 Februari 2012


- Pagi, Fun & Tricks!
(Aktiviti Ice Breaking dan Games untuk Alumni KMPk yang hadir. Kerjasama dengan JPP KMpk)


- Petang, LET'S VOTE!
(Mesyuarat Agung Tahunan Alumni KMPk 2012/2014. Pelantikanahli jawatankuasa baru untuk tahun mendatang)


-Malam, DINNER!
(Majlis makan malam, kemuncak program! 
***** Penampilan istimewa,SOLEHAH Sarah Azizul, mantan naib presiden Alumni KMPk 2006/2007

12 Februari 2012


-Check out time! 



 Dipendekkan cerita, pabila adanya program, pasti adanya pendaftaran. Jadi, selepas tamatnya celoteh admin ini, admin sediakan LINK BORANG PENDAFTARAN bagi sesiapa yang berminat untuk menyertai SPKG sahaja. Sila baca dengan minda yang lapang dan teliti sebelum mengisi borang tersebut. Segala maklumat dan jumlah pembayaran ada dinyatakan. 

   Jika ada sebarang pertanyaan atau ada info yang kurang difahami, sila jangan malu untuk terus berhubung dengan admin di group Alumni KMPk atau Muka Buku Alumni KMPk Rasmi atau anda boleh terus lontarkan pertanyaan di sini.

   Akhir bicara, AYUH!! Kakak2, abang2, adik2 dan seluruh warga Alumni KMPk untuk turut serta dalam SPKG. Sesaat anda bersama SPKG, seabad terasa kenangannya! Tak percaya? Jom isi borang pendaftaran, dan rasakan sendiri pengalamannya 11 FEB ini!!

P/s : 1) Pendaftaran TERHAD kepada 150 orang Alumni KMPk sahaja. Jadi, siapa cepat, dia dapat! 


2) Sebelum isi borang, anda dikehendaki membuat pembayaran sebanyak RM 45 terlebih dahulu. Maklumat lanjut beserta no akaun, klik LINK di bawah ini.


3) Tarikh akhir untuk mendaftar sebagai peserta SPKG ialah pada 8 Feb 2012. Harap Maklum.

   Sila KLIK LINK di bawah ini untuk mendaftar sebagai peserta SPKG 2012.


Sekian, terima kasih. =)

Monday, September 5, 2011

Macam-macam ada bulan ini!

Salam Sayang. Setelah lama tak update blog, kini blogspot berwajah baru! Lebih kemas dan menyemarakkan semangat untuk menulis! Ada beberapa perkara yang ingin admin sampaikan kepada Alumni KMPk tercinta.

Berakhirnya Ramadhan, menjelmanya Syawal. Rasanya belum terlewat untuk admin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir Dan Batin. Ampun dan maaf dipinta andai sepanjang admin menjalankan tugas, ada yang terguris rasa lantas memendam perasaan di jiwa. Ampun pak! =p


Sempena bulan September ini juga, bermulanya alam baru bagi pelajar lepasan matrikulasi sesi 2011/2012 yang lalu. Selamat Melangkah ke Alam Universiti. Sememangnya kehidupan di alam ini lebih mencabar jiwa raga, tetapi ayuh buktikan yang anda tetap akan bersinar di mana jua bumi dipijak! C U D I P T!!



Kepada adik-adik yang masih berada di KMPk, PSPM 1 akan menjelmakan diri tidak lama lagi. Pesan admin, jangan STRESS kan diri anda pada tahap yang TERLAMPAU. Sayangi mental anda. Jika anda pelajar RAJIN, anda akan berjaya! USAHA + TAWAKAL + DOA. Makan dan tidur secukupnya. =p



Bagi yang akan melangkah ke alam pekerjaan, selamat mencari nafkah kehidupan. Cari duit yang halal. Akhir bulan, boleh belanja admin =p


Mungkin juga ada yang akan menjadi RAJA SEHARI sempena bulan Syawal yang mulia ini. Ehem3. Selamat Pengantin Baru!! Boleh jemput admin mainkan kompang. Free of charge! =)


Juga kepada yang akan menimang cahaya mata bulan ini, selamat menimang cahaya mata. Semoga dapat melahirkan insan yang bukan sahaja indah pada rupa, malah indah lagi akhlaknya. =)


Akhir kata, admin juga akan meneruskan semester baru dengan jiwa yang tenang, hati yang lapang bagai kanak-kanak riang. Harap anda juga begitu. Ada jodoh, bertemu kembali. Sekian, terima kasih kerana membaca. 


Tuesday, August 2, 2011

Coretan Kisah Di Let's Camp~!!


Assalamualaikum & Salam kerinduan..~!! Terasa pantasnya masa berlalu meninggalkan kita sehinggakan sekarang bersua semula di bulan Ramadhan penuh mulia..Alhamdulillah, syukur dipanjatkan..Ehem3, lepas ni penulis cerita panjang lebar pula ya mengenai puasa..Nak mengimbau kenangan puasa di KMPk beberapa tahun yang lalu..Okeh, sekarang penulis nak coretkan mengenai aktiviti Alumni KMPk yg buat pertama kali diadakan di luar negeri Perak tercinta..Iaitu aktiviti LET’S CAMP yang kerap kali dipromosikan di blog dan muka buku..LET’S CAMP telah diadakan pada 21-24 JULAI 2011 bertempat di Gua Batu Maloi, Negeri Sembilan..Seramai 30 orang peserta telah memeriahkan LET’S CAMP ini..Tujuan utama aktiviti yang julung kali ini diadakan adalah untuk mengeratkan lagi ukhwah sesame Alumni KMPk..Maklumlah, tak kenal, maka tak cinta kan? Jom kita selusuri kisah sepanjang mengikuti LET’S CAMP~!!

21 JULAI 2011

Dalam jarak masa antara jam 12 tengah hari hingga jam 3 petang, pendaftaran peserta diadakan di Terminal 1, Stesen Bas Seremban..Pada mulanya, penulis sendiri tersilap langkah dalam mencari stesen bas tersebut..Maklumlah, baru pertama kali menjejakkan kaki ke sana..Pengalaman baru yang amat berharga sepanjang menaiki KTM dari Serdang ke Seremban..Lokasi spesifik pendaftaran ialah berhadapan dengan Dunkin Donuts..Hmm, sambil menunggu para peserta, berdendang juga perut terbayangkan donut yang gebu..Hik3..Makin lama, semakin ramai peserta yang tiba dengan beg pakaian masing-masing bagai nak balik kampung..Setelah semua peserta sampai, penulis dan peserta bagaikan tidak sabar untuk menaiki bas yang disediakan ke lokasi perkhemahan..

Dalam perjalanan yang mengambil masa kira-kira sejam lebih, penulis tidak melepaskan peluang menikmati panorama alam..Lebuh raya yang berbukit-bukau pada mulanya menyukarkan pemandu bas..Tetapi, berkat kesabaran, akhirnya berjaya juga meneruskan perjalanan..

Oleh kerana bas tidak dapat masuk ke lokasi perkhemahan, kami dikehendaki berjalan kaki kira-kira 10 minit untuk sampai ke sana..Setelah sampai, semua peserta berehat sebentar untuk melepaskan lelah masing-masing..

Sesi taklimat dikendalikan oleh Saudara Ahmad Zulkamal, Arif dan saudari Nurul Illianida..Peserta terlebih dahulu dibahagikan kepada kumpulan khemah serta kumpulan aktiviti..





Selesai taklimat, bermulalah aktiviti pemasangan khemah..Yeay~!!


Di mana ada pertemuan, di situ ada perkenalan..Sesi Ice Breaking bagaikan modul yang tidak betah kalau tidak dilaksanakan..Setiap peserta diminta memperkenalkan diri masing-masing seperti biasa, namun ada sedikit kelainan apabila mereka wajib menggunakan nama samaran yang bertemakan MAKANAN, dan nama samaran ini akan digunakan sepanjang tempoh LET’S CAMP~!! Lucu kan? Belacan, Telur Goreng, Nasi Goreng Kampung, & pelbagai lagi nama2 yang tak akan penulis lupakan.
.
Setelah selesai solat Isyak & khidmat diri, aktiviti lasak yang pertama dimulakan iaitu Night Trekking..Di saat kegelapan malam, ditambah dengan cahaya bulan yang suram, semua peserta seolah tidak sabar untuk meneroka hutan..Perjalanan di dalam hutan mengambil masa selama 2 jam begitu mencabar dek lambakan dahan berduri tajam dan koloni serangga yang memenuhi lantai hutan..Luka-luka dan gigitan serangga sudah menjadi corak indah yang melakarkan kenangan pada peserta..

Tamat aktiviti pada hari pertama..Semua peserta tidur dengan lena gara-gara keletihan dalam keseronokan..

22 JULAI 2011

Sepanjang pagi dan petang, terdapat 3 aktiviti yang menghiasi hari kedua..Aktiviti pertama diberikan nama “Lukisan Rosak”..Setiap kumpulan diminta menghantar seorang wakil untuk mengambil marker pen & kertas mahjung..Setelah itu, setiap wakil akan diperlihatkan sebuah lukisan dan perlu menghafal gambaran yang dilukiskan untuk disampaikan pada ahli kumpulan masing-masing..Cara penyampaian adalah melalui penceritaan, maksudnya melalui percakapan..Hik3..Dan orang terakhir bagi setiap kumpulan diberikan tugasan untuk melakarkan semula apa yang diceritakan..Persis permainan “Telefon Buruk”, tetapi dalam versi lukisan..Objektif permainan adalah untuk melihat sejauh mana ketangkasan dan ketepatan maklumat yang disampaikan kepada ahli kumpulan..Tamat permainan, pelbagai bentuk lukisan dapat dilihat lagak kanak-kanak baru belajar melukis..=)

Aktiviti kedua yang telah dijayakan ialah “Mencari Duit Syiling”..Setiap kumpulan perlu membentuk bulatan bagi membincangkan kod-kod arahan untuk disampaikan kepada seorang ahli yang telah dipilih untuk mencari duit syiling tersebut..Ahli yang dipilih perlu ditutup matanya serta berada dalam gelanggang yang telah ditaburkan dengan duit syiling 1 sen, 5 sen, 10 sen, 20 sen dan 50 sen..Ahli kumpulan yang lain akan memberikan arahan mengikut kod-kod arahan yang telah dipersetujui sewaktu perbincangan sesama ahli..Persaingan sengit terjadi bagi merebut jumlah duit syiling terbanyak..Objektif permainan ini adalah untuk menguji semangat kerjasama antara ahli kumpulan, kebijaksanaan dalam perencanaan strategi dan semangat berpasukan..=)





Pada petang hari, mari kita basahkan baju~!! Aktiviti yang bernama "Wakena Beb Belon”, telah berjaya membasahkan baju peserta..Permainan yang bertemakan peperangan ini berlangsung dengan meriah..Senjata yang dibekalkan berupa belon-belon air menjadi pelengkap permainan..Para peserta untuk setiap kumpulan perlu bijak merencanakan strategi untuk melindungi diri dari terkena balingan belon..Jika terkena balingan belon, akan diisytiharkan kalah~!! Jeng3..Siapa yang terkena, tak perlu mandi dua hari..Hik3..


Selepas bermandi belon air, bermulalah aktiviti lasak yang kedua iaitu Caving~!! Ramai peserta begitu menantikan detik ini kerana antara tarikan di Gua Batu Maloi ialah penerokaan guanya yang sangat best serta mencabar ketahanan mental dan fizikal..Sebanyak 24 platform telah diterokai dengan semangat jitu laksana seorang perwira negara..Tiada kata dapat penulis garapkan kerana ramai peserta begitu berpuas hati dengan aktiviti ini..Masuk gua, meredah air paras dada, melawan arus air terjun yang begitu deras, panjat-memanjat batu-batu besar, tujahan sayap kelawar yang riang ria berterbangan, dan pelbagai aksi menarik ala-ala spiderman terpatri sebagai pengalaman menarik yang tidak dapat dilupakan ke akhir hayat..Tak percaya, tanyalah pada peserta yang hadir..~!! Penulis sangat suka lah dengan caving..Tak serik lagi ni..=p

Setelah malam melabuhkan tirai, barulah selesai aktiviti caving..Setelah mengisi perut dan menunaikan tanggungjawab sebagai hamba yang taat pada Khaliqnya, “Malam bersama Alumni” dijalankan..Bertemankan unggun api yang tidak begitu marak menyala, para peserta saling bertukar cerita mengenai pengalaman sepanjang menyertai program alumni..

Pabila mata semakin memberat, khemah ibarat katil empuk yang melambai peserta menghampirinya..Tidurlah..=)




23 JULAI 2011

Pagi disambut ceria..Pada pagi ini, aktiviti yang sedikit berbeza telah berlangsung dengan jayanya, iaitu “Pembersihan Kubur”..Kubur penduduk Islam yang terletak di luar kawasan kem mengambil masa kira-kira 20 minit untuk sampai dengan berjalan kaki..Sambil membawa bersama alatan untuk permbersihan, kami berpecah untuk membersihkan setiap kubur dengan mencabut rumput-rumput liar serta lalang-lalang yang tumbuh menutupi tanah kubur..Setelah berpuas hati, Saudara Hilmi mengambil peranan untuk sesi muhasabah diri..Suasana hening menambah kesayuan..Betapa setiap yang bernyawa pasti merasai mati..Firman Allah s.w.t dalam surah Al-Anbiyaa’, ayat 35:

“Tiap-tiap diri akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan, dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan..”



Setelah selesai, kami berangkat pulang ke lokasi perkhemahan..Seterusnya, aktiviti penyembelihan ayam dilakukan secara beramai-ramai..Sebanyak 2 ekor ayam yang dikorbankan untuk menu istimewa pada hari Sabtu..





Pada petang hari, aktiviti fizikal dilakukan yang memerlukan juga kebijaksanaan peserta dan sifat inovatif..Para peserta diminta untuk mencari bahan-bahan bagi membina sebuah kerusi yang dapat diduduki..Terpulanglah sama ada nak gunakan kayu-kayan, ranting-ranting, daun-daun kering dan sebagainya..Riuh rendah suasana saat setiap kumpulan mempromosikan binaan kerusi masing-masing..Pelbagai binaan yang kreatif dapat dilihat, sambil diadili oleh para juri..




Bagi mengisi masa kekosongan, peserta lelaki dan perempuan dibahagikan kepada dua kumpulan besar..Mandi-manda time! Penulis tak berpeluang untuk mandi akibat mengalami kecederaan pada kaki..Tapi, melihat kegembiraan mereka sudah cukup menempiaskan aura kebasahan pada penulis..(Ayat ~!!)

Selesai solat Isyak, barbeku beramai-ramai dimulakan..Sebanyak 5 ekor ayam telah disumbangkan daripada pihak kem kepada kami..Sambil meratah ayam, MT alumni iaitu Saudara Sam & Saudara Pian memerikan sepatah dua kata juga semangat untuk meneruskan lagi aktiviti alumni selepas ini..Selesai makan, semua peserta kembali ke khemah masing-masing untuk melayari mimpi..

24 JULAI 2011

Bangun pagi, gosok gigi, cuci muka, terus mandi..Hik3..Pada pagi yang sangat sejuk ini, selesai sarapan pagi, peserta diminta untuk membersihkan kawasan perkhemahan sambil mengemas barang-barang kerana masa untuk bertolak adalah pada jam 12 tengah hari..Sambil mengemas, datanglah penjual ais krim ke tenpat kem..Habis ais krim yang dijual, maklumlah 4 hari tak merasa ais krim kan..Sesi fotografi diadakan bagi meninggalkan kenangan bersama..Suasana dalam bas sepi kerana masing-masing keletihan sambil melayari mimpi indah..Apabila sampai ke Stesen Bas Seremban, semua peserta berpecah mengikut destinasi masing-masing..

Tamat sudah kisah LET’S CAMP yang sempat penulis coretkan dalam kesibukan menjalani ibadah puasa..Harapan kami dari pihak Alumni KMPk agar kalian dapat lagi bersama-sama menyertai program gempak alumni selepas ini..Nantikan hebahan program terdekat kami ya~!! Moga lepas ini akan ada lagi kesinambungan untuk LET’S Camp 2…..(^_^)

Semoga bersua lagi..






p/s : Penulis ada masalah internet slow macam kura-kura..=) Jadi, tak dapat nak upload banyak gambar..Gambar2 akan menyusul kemudian..Harap Maaf..Atau boleh ke FACEBOOK Johari Bujo Awang untuk tatapan foto LET’S CAMP..

Anda mungkin juga mencari:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...