Social Icons

twitterfacebook

Tuesday, August 2, 2011

Coretan Kisah Di Let's Camp~!!


Assalamualaikum & Salam kerinduan..~!! Terasa pantasnya masa berlalu meninggalkan kita sehinggakan sekarang bersua semula di bulan Ramadhan penuh mulia..Alhamdulillah, syukur dipanjatkan..Ehem3, lepas ni penulis cerita panjang lebar pula ya mengenai puasa..Nak mengimbau kenangan puasa di KMPk beberapa tahun yang lalu..Okeh, sekarang penulis nak coretkan mengenai aktiviti Alumni KMPk yg buat pertama kali diadakan di luar negeri Perak tercinta..Iaitu aktiviti LET’S CAMP yang kerap kali dipromosikan di blog dan muka buku..LET’S CAMP telah diadakan pada 21-24 JULAI 2011 bertempat di Gua Batu Maloi, Negeri Sembilan..Seramai 30 orang peserta telah memeriahkan LET’S CAMP ini..Tujuan utama aktiviti yang julung kali ini diadakan adalah untuk mengeratkan lagi ukhwah sesame Alumni KMPk..Maklumlah, tak kenal, maka tak cinta kan? Jom kita selusuri kisah sepanjang mengikuti LET’S CAMP~!!

21 JULAI 2011

Dalam jarak masa antara jam 12 tengah hari hingga jam 3 petang, pendaftaran peserta diadakan di Terminal 1, Stesen Bas Seremban..Pada mulanya, penulis sendiri tersilap langkah dalam mencari stesen bas tersebut..Maklumlah, baru pertama kali menjejakkan kaki ke sana..Pengalaman baru yang amat berharga sepanjang menaiki KTM dari Serdang ke Seremban..Lokasi spesifik pendaftaran ialah berhadapan dengan Dunkin Donuts..Hmm, sambil menunggu para peserta, berdendang juga perut terbayangkan donut yang gebu..Hik3..Makin lama, semakin ramai peserta yang tiba dengan beg pakaian masing-masing bagai nak balik kampung..Setelah semua peserta sampai, penulis dan peserta bagaikan tidak sabar untuk menaiki bas yang disediakan ke lokasi perkhemahan..

Dalam perjalanan yang mengambil masa kira-kira sejam lebih, penulis tidak melepaskan peluang menikmati panorama alam..Lebuh raya yang berbukit-bukau pada mulanya menyukarkan pemandu bas..Tetapi, berkat kesabaran, akhirnya berjaya juga meneruskan perjalanan..

Oleh kerana bas tidak dapat masuk ke lokasi perkhemahan, kami dikehendaki berjalan kaki kira-kira 10 minit untuk sampai ke sana..Setelah sampai, semua peserta berehat sebentar untuk melepaskan lelah masing-masing..

Sesi taklimat dikendalikan oleh Saudara Ahmad Zulkamal, Arif dan saudari Nurul Illianida..Peserta terlebih dahulu dibahagikan kepada kumpulan khemah serta kumpulan aktiviti..





Selesai taklimat, bermulalah aktiviti pemasangan khemah..Yeay~!!


Di mana ada pertemuan, di situ ada perkenalan..Sesi Ice Breaking bagaikan modul yang tidak betah kalau tidak dilaksanakan..Setiap peserta diminta memperkenalkan diri masing-masing seperti biasa, namun ada sedikit kelainan apabila mereka wajib menggunakan nama samaran yang bertemakan MAKANAN, dan nama samaran ini akan digunakan sepanjang tempoh LET’S CAMP~!! Lucu kan? Belacan, Telur Goreng, Nasi Goreng Kampung, & pelbagai lagi nama2 yang tak akan penulis lupakan.
.
Setelah selesai solat Isyak & khidmat diri, aktiviti lasak yang pertama dimulakan iaitu Night Trekking..Di saat kegelapan malam, ditambah dengan cahaya bulan yang suram, semua peserta seolah tidak sabar untuk meneroka hutan..Perjalanan di dalam hutan mengambil masa selama 2 jam begitu mencabar dek lambakan dahan berduri tajam dan koloni serangga yang memenuhi lantai hutan..Luka-luka dan gigitan serangga sudah menjadi corak indah yang melakarkan kenangan pada peserta..

Tamat aktiviti pada hari pertama..Semua peserta tidur dengan lena gara-gara keletihan dalam keseronokan..

22 JULAI 2011

Sepanjang pagi dan petang, terdapat 3 aktiviti yang menghiasi hari kedua..Aktiviti pertama diberikan nama “Lukisan Rosak”..Setiap kumpulan diminta menghantar seorang wakil untuk mengambil marker pen & kertas mahjung..Setelah itu, setiap wakil akan diperlihatkan sebuah lukisan dan perlu menghafal gambaran yang dilukiskan untuk disampaikan pada ahli kumpulan masing-masing..Cara penyampaian adalah melalui penceritaan, maksudnya melalui percakapan..Hik3..Dan orang terakhir bagi setiap kumpulan diberikan tugasan untuk melakarkan semula apa yang diceritakan..Persis permainan “Telefon Buruk”, tetapi dalam versi lukisan..Objektif permainan adalah untuk melihat sejauh mana ketangkasan dan ketepatan maklumat yang disampaikan kepada ahli kumpulan..Tamat permainan, pelbagai bentuk lukisan dapat dilihat lagak kanak-kanak baru belajar melukis..=)

Aktiviti kedua yang telah dijayakan ialah “Mencari Duit Syiling”..Setiap kumpulan perlu membentuk bulatan bagi membincangkan kod-kod arahan untuk disampaikan kepada seorang ahli yang telah dipilih untuk mencari duit syiling tersebut..Ahli yang dipilih perlu ditutup matanya serta berada dalam gelanggang yang telah ditaburkan dengan duit syiling 1 sen, 5 sen, 10 sen, 20 sen dan 50 sen..Ahli kumpulan yang lain akan memberikan arahan mengikut kod-kod arahan yang telah dipersetujui sewaktu perbincangan sesama ahli..Persaingan sengit terjadi bagi merebut jumlah duit syiling terbanyak..Objektif permainan ini adalah untuk menguji semangat kerjasama antara ahli kumpulan, kebijaksanaan dalam perencanaan strategi dan semangat berpasukan..=)





Pada petang hari, mari kita basahkan baju~!! Aktiviti yang bernama "Wakena Beb Belon”, telah berjaya membasahkan baju peserta..Permainan yang bertemakan peperangan ini berlangsung dengan meriah..Senjata yang dibekalkan berupa belon-belon air menjadi pelengkap permainan..Para peserta untuk setiap kumpulan perlu bijak merencanakan strategi untuk melindungi diri dari terkena balingan belon..Jika terkena balingan belon, akan diisytiharkan kalah~!! Jeng3..Siapa yang terkena, tak perlu mandi dua hari..Hik3..


Selepas bermandi belon air, bermulalah aktiviti lasak yang kedua iaitu Caving~!! Ramai peserta begitu menantikan detik ini kerana antara tarikan di Gua Batu Maloi ialah penerokaan guanya yang sangat best serta mencabar ketahanan mental dan fizikal..Sebanyak 24 platform telah diterokai dengan semangat jitu laksana seorang perwira negara..Tiada kata dapat penulis garapkan kerana ramai peserta begitu berpuas hati dengan aktiviti ini..Masuk gua, meredah air paras dada, melawan arus air terjun yang begitu deras, panjat-memanjat batu-batu besar, tujahan sayap kelawar yang riang ria berterbangan, dan pelbagai aksi menarik ala-ala spiderman terpatri sebagai pengalaman menarik yang tidak dapat dilupakan ke akhir hayat..Tak percaya, tanyalah pada peserta yang hadir..~!! Penulis sangat suka lah dengan caving..Tak serik lagi ni..=p

Setelah malam melabuhkan tirai, barulah selesai aktiviti caving..Setelah mengisi perut dan menunaikan tanggungjawab sebagai hamba yang taat pada Khaliqnya, “Malam bersama Alumni” dijalankan..Bertemankan unggun api yang tidak begitu marak menyala, para peserta saling bertukar cerita mengenai pengalaman sepanjang menyertai program alumni..

Pabila mata semakin memberat, khemah ibarat katil empuk yang melambai peserta menghampirinya..Tidurlah..=)




23 JULAI 2011

Pagi disambut ceria..Pada pagi ini, aktiviti yang sedikit berbeza telah berlangsung dengan jayanya, iaitu “Pembersihan Kubur”..Kubur penduduk Islam yang terletak di luar kawasan kem mengambil masa kira-kira 20 minit untuk sampai dengan berjalan kaki..Sambil membawa bersama alatan untuk permbersihan, kami berpecah untuk membersihkan setiap kubur dengan mencabut rumput-rumput liar serta lalang-lalang yang tumbuh menutupi tanah kubur..Setelah berpuas hati, Saudara Hilmi mengambil peranan untuk sesi muhasabah diri..Suasana hening menambah kesayuan..Betapa setiap yang bernyawa pasti merasai mati..Firman Allah s.w.t dalam surah Al-Anbiyaa’, ayat 35:

“Tiap-tiap diri akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan, dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan..”



Setelah selesai, kami berangkat pulang ke lokasi perkhemahan..Seterusnya, aktiviti penyembelihan ayam dilakukan secara beramai-ramai..Sebanyak 2 ekor ayam yang dikorbankan untuk menu istimewa pada hari Sabtu..





Pada petang hari, aktiviti fizikal dilakukan yang memerlukan juga kebijaksanaan peserta dan sifat inovatif..Para peserta diminta untuk mencari bahan-bahan bagi membina sebuah kerusi yang dapat diduduki..Terpulanglah sama ada nak gunakan kayu-kayan, ranting-ranting, daun-daun kering dan sebagainya..Riuh rendah suasana saat setiap kumpulan mempromosikan binaan kerusi masing-masing..Pelbagai binaan yang kreatif dapat dilihat, sambil diadili oleh para juri..




Bagi mengisi masa kekosongan, peserta lelaki dan perempuan dibahagikan kepada dua kumpulan besar..Mandi-manda time! Penulis tak berpeluang untuk mandi akibat mengalami kecederaan pada kaki..Tapi, melihat kegembiraan mereka sudah cukup menempiaskan aura kebasahan pada penulis..(Ayat ~!!)

Selesai solat Isyak, barbeku beramai-ramai dimulakan..Sebanyak 5 ekor ayam telah disumbangkan daripada pihak kem kepada kami..Sambil meratah ayam, MT alumni iaitu Saudara Sam & Saudara Pian memerikan sepatah dua kata juga semangat untuk meneruskan lagi aktiviti alumni selepas ini..Selesai makan, semua peserta kembali ke khemah masing-masing untuk melayari mimpi..

24 JULAI 2011

Bangun pagi, gosok gigi, cuci muka, terus mandi..Hik3..Pada pagi yang sangat sejuk ini, selesai sarapan pagi, peserta diminta untuk membersihkan kawasan perkhemahan sambil mengemas barang-barang kerana masa untuk bertolak adalah pada jam 12 tengah hari..Sambil mengemas, datanglah penjual ais krim ke tenpat kem..Habis ais krim yang dijual, maklumlah 4 hari tak merasa ais krim kan..Sesi fotografi diadakan bagi meninggalkan kenangan bersama..Suasana dalam bas sepi kerana masing-masing keletihan sambil melayari mimpi indah..Apabila sampai ke Stesen Bas Seremban, semua peserta berpecah mengikut destinasi masing-masing..

Tamat sudah kisah LET’S CAMP yang sempat penulis coretkan dalam kesibukan menjalani ibadah puasa..Harapan kami dari pihak Alumni KMPk agar kalian dapat lagi bersama-sama menyertai program gempak alumni selepas ini..Nantikan hebahan program terdekat kami ya~!! Moga lepas ini akan ada lagi kesinambungan untuk LET’S Camp 2…..(^_^)

Semoga bersua lagi..






p/s : Penulis ada masalah internet slow macam kura-kura..=) Jadi, tak dapat nak upload banyak gambar..Gambar2 akan menyusul kemudian..Harap Maaf..Atau boleh ke FACEBOOK Johari Bujo Awang untuk tatapan foto LET’S CAMP..