Social Icons

twitterfacebook

Wednesday, February 19, 2020

Perkongsian Kak Mas Terima Respon Positif




Slot Peranan Alumni Dalam Mempromosi Matrikulasi di Bengkel Training of Trainers (TOT) Penyelaras Promosi dan Bengkel Kerja Pengurusan Pendaftaran Pelajar Baharu Kolej Matrikulasi KPM di Genting Highlands minggu lepas, kita kira berjalan lancar. 

Pengisian oleh Puan Nur Mastura Mansor, Pengasas dan Ahli Majlis Penasihat NGO Alumni KMPk boleh dikatakan meninggalkan impak yang positif dan menerima respon yang baik daripada para pegawai Bahagian Matrikulasi, Ketua-Ketua Jabatan dan pensyarah yang hadir.

Tempoh hampir 2 jam pada malam tersebut dimulakan dengan sedikit pengenalan dan sejarah NGO Alumni KMPk. Bagaimana persatuan ini diwujudkan, apa cabaran yang dihadapi dalam memastikan persatuan ini kekal aktif dan pencapaian setakat ini. Dan pasti juga ada menyentuh berkenaan peranan Alumni dalam kerja kerja promosi matrikulasi. 

Antara peranan Alumni yang disentuh adalah dari sudut kerja hebahan di media sosial dan sertai booth promosi matrikulasi kolej masing masing.

NGO Alumni KMPk sejak 2014 sering kongsikan semula tulisan berkenaan kebaikan matrikulasi oleh para pensyarah dan alumni. Bahkan kita telah archivekan tulisan-tulisan tersebut di blogspot persatuan supaya mudah dirujuk dan kongsi semula. Manakala pada tahun 2017 dan 2018 kita telah pun 2 kali dijemput untuk turut serta mempromosi matrikulasi di karnival-karnival pendidikan. 

Puan Nur Mastura menyebut bahawa penting untuk Alumni menyertai promosi di karnival pendidikan. Pengalaman dan emotional value yang dibawa oleh Alumni berbeza dengan para pegawai kolej atau bahagian.

Slot pada malam tersebut juga ada menyentuh peranan kolej dan peranan Bahagian Matrikulasi dalam mempromosi matrikulasi. Yang mana peranan dua entiti ini adalah secara mudahnya memberi sokongan dan ruang kepada para Alumni untuk bersama-sama dalam usaha menjadikan matrikulasi pilihan nombor 1 para pelajar lepasan SPM. 

NGO Alumni KMPk percaya ruang yang diberi oleh Bahagian Matrikulasi KPM dan juga pengurusan kolej kepada para alumni untuk turut serta dalam mempromosi matrikulasi dan menganjurkan program di kolej akan mendatangkan hasil dan respon yang baik kelak. Kita juga berharap agar jawatankuasa persatuan alumni matrikulasi seluruh Malaysia akan mengambil peluang yang diberi oleh bahagian dan kolej ini sebaik mungkin.

Kita percaya kerjasama dan peluang seperti perkongsian di Bengkel TOT ini akan diteruskan di masa hadapan. Terima kasih pada pihak Bahagian Matrikulasi KPM atas kepercayaan yang diberi kepada NGO Alumni KMPk. 

‘Bersama Menabur Bakti'

Hasnul Adin
Timbalan Presiden
NGO Alumni KMPk

No comments: