Social Icons

twitterfacebook

Monday, March 10, 2014

Kehilangan Pesawat MH370: Kenyataan Rasmi Presiden Alumni KMPk

Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Baru-baru ini seluruh Malaysia dikejutkan dengan satu isu kemanusiaan iaitu isu kehilangan pesawat MH370 yang masih lagi menjadi rahsia dan tanda tanya buat kita.

Apabila kita membaca dan melihat isu ini, automatik hati kita juga terusik dan pasti merasa sedih dengan perkara yang sudah berlaku. Sebagai individu yang matang, kita tidak perlu cepat melatah apabila wujudnya perkara ini. Kita seharusnya melihat dan berbincang tentang isu ini dari sudut yang positif. Kita perlu menghormati semua pihak yang terlibat termasuk ahli keluarga penumpang serta juruterbang yang terlibat.

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul begitulah keadaan mereka kini. Perkara yang termampu untuk kita semua lakukan adalah berdoa sesungguhnya doa itu senjata terbaik kerana perkara yang berlaku itu di dalam perancangan Yang Maha Berkuasa.

Saya juga ingin menyeru kesemua Ahli Alumni KMPk dan seluruh warga Malaysia untuk lebih berhati-hati di dalam mengeluarkan sebarang kenyataan di dalam bentuk maya mahupun realiti supaya kita tidak lagi ‘memanaskan’ isu kemanusiaan ini. Tanpa sebarang fakta yang sahih sudah tentu perkara tersebut akan menjadi fitnah.

Sebagai tanda prihatin, kami dari barisan Pegawai Majlis Tertinggi Alumni KMPk mengajak semua warga Malaysia secara amnya dan ahli Alumni KMPk khususnya menjadi cakna terhadap isu ini dan sama-sama berdoa yang terbaik buat pesawat MH370 dan pihak terlibat yang berusaha sebaiknya mencari punca kehilangan pesawat MH370.

“Menuju Alumni Berprestij”

Muhammad Hilmi Bin Ismail,
Presiden Persatuan Alumni KMPk.


No comments: